Followers

Diandra dan Yuna Sama Tapi Berbeza


















SALING memuji. Yuna memegang album sulung Diandra, sementara Diandra
 memegang album kedua Yuna.



MENDENGAR lontaran dan lenggok suara Diandra Aljunaidi, 20, tatkala dia berbicara tanpa melihat pada wajahnya pasti ramai yang menyamakan artis pertama yang bernaung di bawah syarikat pengurusan milik Yuna iaitu Yuna Room Records (YRR) persis seperti Yuna.


Namun, tatkala melihat wajah gadis indie yang disunting pemilik sebenar nama Yunalis Zarai, 26, atau Yuna sebaik menyaksikan persembahan secara langsung gadis itu di gig Moonshine kendalian penyanyi Reza Salleh, tiada langsung menunjukkan persamaan dengan Yuna. Jauh sekali apabila mendengar lagu yang didendangkannya.
Biarpun Diandra kini dikenali sebagai anak didik Yuna, jangan sesekali samakan diri mereka kerana mereka adalah dua insan seni yang berbeza. Masing-masing mempunyai kekuatan dari segi vokal mahupun dalam kreativiti menghasilkan lagu. Cuma muzik yang dibawa mereka menjadikan mereka sama tapi tak serupa.
"Saya sudah kenal Diandra lama sejak dia mengadakan persembahan di gig lagi. Dia sangat berbakat dan dia juga pandai menghasilkan lagu. Sayang kalau dibiarkan begitu sahaja kerana dia mempunyai aura istimewa. Apabila saya lihat Diandra, dia seperti saya pada lima tahun lalu yang menghasilkan pelbagai lagu tetapi tidak tahu bagaimana mahu perkenalkan karya tersebut kepada umum dan akhirnya memilih YouTube sebagai medium perantara. Dia juga sudah punyai peminat sendiri. Disebabkan itu, saya memilih Diandra bernaung sebagai artis pertama di bawah Yuna Room Records," katanya yang baharu dua bulan lalu menandatangani perjanjian bersama Diandra.
Pinta Yuna, agar tiada lagi yang menyamakan diri mereka dan lagu-lagu ciptaan mereka kerana masing-masing punyai konsep muzik yang berbeza.
"Muzik lahir daripada kreativiti masing-masing. Seperti sebelum ini ada yang menyamakan saya dengan Najwa Latif dan kini Diandra pula. Kami sebenarnya berbeza. Memang kami bawa lagu yang agak serupa iaitu santai tapi muzik kami berbeza termasuklah cara nyanyian kami.
"Mungkin persepsi peminat akan berubah apabila mereka hayati lagu-lagu milik Diandra yang kini sudah berada di pasaran," ungkapnya lagi yang tidak mahu peminat keliru dengan kehadiran Diandra dalam dunia hiburan.
Malah, pengambilan Diandra sebagai artis naungan pertama Yuna Room Records adalah permulaan dalam mengembangkan perniagaan syarikat saya itu," tuturnya tatkala ditemui pada Majlis Pelancaran Album Yuna & Diandra Arjunaidi di Holding Room, Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tidak hanya memperkenalkan artis pertama syarikat rakamannya, Yuna juga turut melancarkan album keduanya khas buat peminat di Malaysia.
Tiru
Jawab Diandra pula, sebelum menerima pelawaan Yuna dia sudah terfikir mungkin akan ada orang yang akan samakan mereka. Sememangnya dia mengakui menjadikan Yuna sebagai inspirasi tetapi tidak bermakna dia meniru kekasih kepada Qi itu dalam menghasilkan lagu dan juga meniru trademark Yuna yang memetik gitar ketika menyanyi.
Menganggap kata-kata orang bahawa dirinya sama seperti Yuna sebagai satu pujian, namun dalam masa yang sama menegaskan dia mempunyai muzik dan gaya nyanyian yang jauh berbeza dengan Yuna.
"Saya sudah menghasilkan lagu-lagu yang kini dimuatkan dalam album baharu saya sejak berumur 14 tahun lagi. Lagu You merupakan karya pertama yang saya hasilkan. Mengenai gitar pula saya memang selesa menghasilkan lagu sambil memetik gitar. Gitar yang ada juga bukan milik saya tetapi milik ayah saya. Di rumah terdapat dua alat muzik iaitu piano dan gitar. Kakak lebih cenderung bermain piano sebaliknya saya lebih selesa menggunakan gitar," tuturnya.
Sekadar ingin berkongsi lagu yang dicipta dengan semua orang dan ingin melihat sejauh mana kemampuannya, Diandra turut memuat turun lagu miliknya di YouTube.
Ternyata, kelunakan suara dan lagu yang dihasilkan Diandra yang dimuat turun di dalam YouTube mendapat perhatian penyanyi Reza Salleh. Reza menghubungi Diandra dan bertanyakan padanya seandainya dia mahu untuk beraksi dan membuat persembahan secara langsung di khalayak ramai. Bertitik tolak daripada itu, Diandra mula mengadakan persembahan di khalayak ramai bermula pada tahun 2008.
"Umpama mimpi jadi kenyataan, saya menerima tawaran Reza dan membuat persembahan di depan orang ramai pada acara muzik yang mengetengahkan bakat-bakat tempatan iaitu Moonshine.
"Sejak itu, banyak tawaran persembahan yang diterima termasuk mengadakan persembahan di kelab seperti Laundry Bar, No Black Tie, Klue Magazine's Urbanscapes 2010 & 2011, menjadi artis pembuka tirai untuk Konsert Secondhand Serenade 2011, Karnival Suara Kami 2011, Konsert Earth Hour 2011 dan banyak lagi.
"Perkenalan saya dengan Yuna juga bermula pada acara Moonshine dan pada November lalu dia menawarkan saya untuk bernaung di bawah syarikat rakamannya," akuinya yang bersyukur kerana akhirnya bakatnya berjaya dinilai ramai pihak termasuk Yuna.
Diandra juga mengaku pernah menerima tawaran daripada satu syarikat dua tahun lalu namun menerima pelawaan Yuna kali ini kerana merasakan masanya untuk menceburi bidang muzik sebenar sudah tiba.
"Yuna yang tawarkan saya untuk menjadi artis pertama di bawah syarikatnya. Bila Yuna tawar saya terus terima. Siapa yang mahu lepaskan peluang baik seperti ini. Memang ada sebuah syarikat melamar saya dua tahun lalu tetapi masa itu saya belum bersedia untuk menjadi artis," ujarnya yang turut tidak terlepas dengan gosip biarpun baru setahun jagung dalam industri hiburan.
Seksi
Ramai yang mengata penampilannya agak seksi berbanding usinya yang baru menjangkau 20 tahun.
Ditanya mengenai hal itu, kata Diandra yang juga merupakan cucu kepada Datuk Rosnani Jamil dan Datuk Jamil Sulong itu, dia mengaku ramai yang tidak menyukai imejnya tetapi dia merasa selesa dengan apa yang dipakainya.
"Ramai yang tidak suka dengan imej saya dan mengatakan saya seksi. Imej saya sebenarnya ringkas dan tidaklah terlalu seksi. Saya pakai apa yang saya rasakan selesa. Memang saya akui imej juga memainkan peranan penting dalam industri hiburan namun saya punya pendirian sendiri yang tidak mahu mengikut arahan memakai apa yang saya tidak suka," katanya.
Beralih mengenai album pertamanya yang memuatkan sebanyak tujuh buah lagu, Diandra yang pernah membintangi drama bersiri Gemilang dan Sakura itu mengaku hanya menghasilkan sebuah lagu Melayu iaitu Angkasa.
Lagu lain yang turut berada di dalam album pertamanya adalah Things We Don't Say, Remember, Happy, Entitled, White Lines dan You.
Ujarnya, itu merupakan percubaannya dalam menghasilkan lagu Melayu kerana kesemua lagu ciptaannya merupakan lagu bahasa Inggeris.
"Saya lebih selesa menghasilkan dan menyanyi lagu bahasa Inggeris berbanding Melayu. Memang teruklah sebab saya tak begitu fasih bahasa Melayu disebabkan itu saya tidak yakin untuk menulis lirik dan menghasilkan lagu Melayu. Tetapi saya akan belajar dan lebih banyak menghasilkan lagu Melayu pada masa akan datang.
"Mungkin saya kurang fasih berbahasa Melayu kerana di rumah kami sering bertutur dalam bahasa Inggeris. Ibu merupakan orang Cina dan bapa pula berasal dari Indonesia," ungkapnya.-KOSMO

No comments: