Followers

Kemunculan Nelydia Senrose




BAGI yang pernah mengikuti drama bersiri Spa Q beberapa ketika dahulu, wajah Nelydia Senrose yang memainkan watak sebagai Melissa iaitu anak kepada Norish Karman pastinya cukup sinonim di kalangan penonton.


Memegang watak seorang gadis yang suka memberontak dalam drama bersiri popular itu, tetapi pelakon yang berasal dari Kuala Lumpur itu dilihat menampilkan lakonan yang cukup berkesan.
Biarpun namanya kurang menjadi sebutan ramai, tetapi menerusi drama tersebut juga sebenarnya menjadi batu loncatan sehingga dia sering menjadi pilihan pengarah untuk muncul dalam drama dan telefilem.
Namun begitu, pada tahun ini kemunculan pelakon berkenaan di kaca televisyen dilihat semakin berkurangan sehingga ada yang berpandangan bahawa dia cuba untuk mengelak dikaitkan dengan gosip yang melanda salah seorang kakaknya sebelum ini.
"Sebenarnya saya terpaksa menyepi seketika daripada sebarang aktiviti lakonan memandangkan saya menghadapi ujian yang cukup besar iaitu peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini.
"Biarpun lakonan adalah suatu bidang yang cukup saya minati dan sudah sebati dengan jiwa saya, tetapi sudah tentu pelajaran harus menjadi keutamaan kerana ia adalah penentu kepada masa depan," ujarnya ketika ditemui sewaktu penggambaran drama bersiri Puaka Bunga Tanjung baru-baru ini.
Menurut Nelydia, sepanjang tahun ini dia memang terpaksa menolak banyak tawaran berlakon yang diterima, malah kali terakhir dia berlakon adalah menerusi telefilem Tudung Tweet pada bulan Oktober lalu.
Ujarnya, antara sebab dia menerima tawaran untuk berlakon dalam telefilem tersebut kerana agak tertarik dengan jalan cerita yang ditampilkan serta dapat berlakon di samping pelakon-pelakon hebat seperti Liyana Jasmay.
"Kebetulan ketika ditawarkan untuk berlakon dalam Tudung Tweet, saya baru sahaja selesai menghadapi peperiksaan percubaan SPM. Lagipun peranan saya tidak terlalu besar dan hanya membabitkan penggambaran selama tiga hari semasa cuti hujung minggu," ujarnya.
Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 13, Subang Jaya itu lagi, dia akui ada mendapat beberapa tawaran yang cukup menarik, tetapi dengan nasihat keluarga dia terpaksa berkorban kerana risau tidak dapat memberikan tumpuan kepada dua kerja dalam satu masa.



Bagaimanapun, kini dia berasa sangat lega apabila selesai menjalani SPM dan dapat memberi keutamaan sepenuhnya kepada dunia lakonan. Menariknya, beberapa hari selepas tamat SPM, dia sudah pun mula menjalani penggambaran drama bersiri Puaka Bunga Tanjung.
"Sekarang saya mahu kembali aktif semula dan amat bersyukur kerana tawaran berlakon memang sentiasa ada. Cuma saya tidak mahu terlalu tamak untuk terima apa sahaja tawaran yang diberikan.
"Lagipun secara kebetulan nama saya juga tidak tersenarai sebagai pelatih untuk Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Jadi, dapatlah saya terus berlakon sementara menunggu keputusan SPM keluar," ujarnya.
Mengenai sokongan yang diterima sepanjang pembabitannya sebagai seorang anak seni, Nelydia memberitahu ibunya banyak memberi sokongan berbanding ayahnya yang mahukan dia memberi tumpuan kepada pelajaran terlebih dahulu.
"Namun, sekarang ini kedua-dua ibu bapa saya tidak kisah untuk saya terus berlakon. Lagipun daripada saya cuma duduk di rumah tanpa membuat apa-apa, lebih baik berlakon kerana masa saya tidak akan terbuang begitu sahaja.
"Cuma ayah ada berpesan supaya saya menjaga tingkah laku dan tidak terbabit dalam sebarang kontroversi. Pada masa yang sama ayah turut meminta saya untuk menyambung pelajaran sekiranya mendapat keputusan yang cemerlang dalam SPM nanti," jelasnya.
Cerita lama
Pada akhir tahun yang lalu industri hiburan pernah digemparkan dengan penyebaran gambar aksi cium yang membabitkan seorang pelawak terkenal dengan gadis yang dikenali sebagai Nik Zarith Uqasya Senrose Nik Sen.
Gadis dalam gambar berkenaan sebenarnya adalah kakak Nelydia sendiri, sehingga ada yang beranggapan pula bahawa Nelydia mahu menyepikan diri dari dunia lakonan disebabkan kontroversi tersebut.
"Secara jujurnya saya tidak mahu lagi mengungkit cerita kontroversi itu kerana ia sudah pun lama berlalu. Ia langsung tidak memberi impak terhadap karier saya kerana keputusan untuk menyepi seketika adalah disebabkan saya mahu memberi tumpuan kepada pelajaran.
"Bagaimanapun, ia tetap menjejaskan sedikit nama saya kerana kontroversi yang menimpa itu terjadi ke atas kakak saya sendiri. Lagipun tidak perlu lagi hendak diungkit cerita-cerita lama yang sudah tidak diperkatakan lagi," tegasnya.
Ujar Nelydia, dia menganggap segala yang berlaku itu sebagai satu pengajaran yang berguna dalam menjalani kehidupan sebagai seorang artis dan ia membuatkan dirinya supaya lebih berhati-hati selepas ini.
Jelasnya, dengan kebebasan yang diberikan oleh kedua-dua orang tuanya untuk kembali bergiat aktif dalam dunia lakonan akan digunakan sebaik-baiknya serta akan cuba mengelak untuk dijadikan bahan kontroversi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Sambung belajar

BARISAN karyawan dan krew drama Puaka Bunga Tanjung.


Biarpun kini dia kembali aktif berlakon dengan tawaran yang tidak putus-putus, namun Nelydia meluahkan hasratnya yang mahu tetap menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.
Ujarnya, selain mahu berjaya sebagai seorang pelakon yang terkenal, dia juga mempunyai impian untuk berjaya dalam pelajaran menggenggam segulung ijazah sebagai jaminan masa hadapan.
"Saya tidaklah bermaksud untuk mengatakan kerjaya dalam bidang seni tidak mempunyai masa depan yang cerah. Cuma bila difikirkan kembali saya sendiri pun tidak tahu sampai bila akan terus bergelar sebagai pelakon.
"Jadi, kalau ditakdirkan saya tidak lagi terbabit dalam industri ini, sekurang-kurangnya saya boleh menceburi bidang pekerjaan yang lain dengan kelulusan yang ada nanti," jelasnya.
Ditanya tentang jurusan apa yang mahu diambil sekiranya berpeluang untuk menyambung pelajaran, Nelydia memberitahu dia sebenarnya berminat untuk mengambil jurusan kejuruteraan bunyi.
"Sebenarnya saya memang sudah lama berminat dalam bidang kejuruteraan walaupun ia biasanya dimonopoli oleh lelaki. Saya memilih kejuruteraan bunyi kerana merasakan ia satu bidang yang cukup menarik untuk dipelajari.
"Namun, itu semua masih lagi di peringkat perancangan kerana segala-galanya nanti bakal ditentukan menerusi keputusan SPM yang akan saya terima pada tahun hadapan," ujarnya.
-KOSMO

No comments: