KEHEBATAN kumpulan Sepah sebagai sebuah kumpulan pelawak yang disegani sememangnya tidak boleh disangkal lagi. Buktinya, apabila mereka muncul sebagai juara dalam rancangan Maharaja Lawak dengan menewaskan beberapa peserta yang dianggap pilihan seperti Jozan.
Bagaimanapun, semuanya sudah tinggal sejarah apabila Sepah tidak lagi wujud. Siapa sangka selepas menjadi juara, mereka bertiga mengambil keputusan untuk berpecah ketika nama berada di puncak populariti.
Memberikan alasan tidak dapat memberikan komitmen kepada kumpulan sehingga mengambil tindakan drastik untuk berpecah sebagai langkah terakhir, ternyata keputusan yang dibuat itu tetap mengejutkan ramai pihak terutamanya peminat.
Tidak lama selepas itu, Shuib dan Jep membentuk pula sebuah kumpulan iaitu Sepahtu tanpa disertai Mamat. Namun, kini ramai yang mula tertanya-tanya tentang perjalanan seni Sepahtu setelah beberapa bulan diwujudkan.
“Kami tidak nafikan kebanyakan tawaran yang diperoleh sekarang ini lebih banyak kepada individu, tetapi tidak bermakna kami meminggirkan kumpulan yang kami sendiri tubuhkan. Kalau ada tawaran untuk Sepahtu, kami akan terima sekiranya masing-masing tidak terikat dengan sebarang kerja lain.
“Lagipun kami rasa tidak adil untuk menyekat rezeki sesama sendiri masing-masing bebas untuk terima apa sahaja tawaran yang diberikan, manakala untuk Sepahtu pula sudah ada beberapa projek yang sedang dan bakal kami jalankan," ujar Jep ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Jep, salah satu projek yang kini sedang dilakukan oleh Sepahtu ialah menghasilkan album sulung yang diterbitkan oleh syarikat milik Mawi iaitu MW Entertainment dan Sheikh Qalam Records.
Ujarnya, album berkenaan bakal mengandungi tujuh buah lagu dan sekarang ini mereka baru sahaja selesai merakamkan dua buah lagu yang berjudul Siapa Dapat Lisa ciptaan Datuk M. Nasir dan Tidur Mati yang dihasilkan oleh Azmeer.
“Kalau kami jarang mengadakan persembahan atau berlakon bersama-sama, tidak bermakna Sepahtu semakin tenggelam atau bakal berkubur. Malah, kami sangat bersyukur kerana rezeki yang diperoleh juga semakin melimpah sejak bergabung berdua.
“Selain sedang dalam proses menghasilkan album sulung, kami turut ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah filem dengan menjadikan Sepahtu sebagai watak utama. Namun, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan dan sekiranya tiada masalah, penggambaran akan bermula pada Mac ini,” jelasnya.
Mengenai hubungan mereka dengan Mamat selepas berpecah dan kemudiannya mewujudkan Sepahtu, Shuib secara terus terang menyatakan sehingga kini hubungan mereka dan Mamat masih lagi baik seperti biasa.
Akui Shuib, adakalanya dia dan Jep pernah berasa rindu untuk membuat persembahan dengan Mamat memandangkan mereka bertiga sudah lama berkawan serta berjuang bersama-sama ketika berada di rancangan Raja Lawak dan Maharaja Lawak suatu ketika dahulu.
“Secara jujurnya memang ramai peminat yang mahukan kami bertiga kembali bergabung bersama dan melahirkan semula Sepah. Namun, buat masa ini kami sudah pun ada jalan sendiri untuk meneruskan kerjaya masing-masing.
“Mengenai permintaan yang dibuat oleh peminat, kami memang sukar memberikan jawapan. Kalau kami berkata ya, itu bermakna kami memberikan harapan yang tinggi kepada peminat, sedangkan hakikatnya tidak pernah terlintas langsung untuk bergabung semula,” tegas Shuib.
Walaupun sudah tidak lagi berada dalam satu kumpulan yang sama, tetapi mereka bertiga masih terus bekerjasama dan baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Sepah The Movie beberapa bulan lalu.
Utamakan keluarga
Tanggal 4 Disember 2011 pasti memberi erti yang cukup bermakna dalam kehidupan Shuib apabila isterinya, Siti Sarah yang juga seorang penyanyi telah selamat melahirkan seorang bayi lelaki bernama Uwais Alqarni.
Ditanya tentang perjalanan kehidupan sehariannya setelah lebih sebulan bergelar seorang ayah, pelawak yang sudah berusia 27 tahun itu merasakan kehidupannya lebih sempurna dengan kehadiran cahaya mata.
“Selain berusaha keras untuk berjaya dalam kerjaya yang saya ceburi, fokus utama saya adalah keluarga. Bagi saya keluarga adalah segala-galanya, apatah lagi setelah bergelar seorang ayah.
“Sekiranya tidak terlibat dalam membuat persembahan atau menjalani penggambaran, saya lebih suka menghabiskan masa di rumah dan membantu isteri menjaga anak serta melakukan kerja-kerja rumah,” jelasnya.
Menurutnya lagi, disebabkan kesibukannya dalam menguruskan rumah tangga memandangkan isterinya masih lagi dalam pantang telah menyebabkan ada beberapa tawaran yang diperoleh terpaksa ditolak.
“Memandangkan ini merupakan cahaya mata pertama, sudah tentu saya sangat teruja untuk melihat dia membesar. Adakalanya saya sendiri seperti tidak percaya sudah memiliki anak dan semakin seronok menjadi seorang ayah,” ujarnya.
Putus cinta
Jika Shuib melalui fasa kehidupan yang lebih sempurna setelah mendirikan rumah tangga dengan Siti Sarah dan kini memperoleh cahaya mata, ternyata lain pula yang terpaksa dilalui oleh seorang lagi anggota Sepahtu iaitu Jep.
Menurut pelawak berkenaan, hasrat untuk bercinta dan menjalinkan hubungan yang serius dengan seorang gadis ternyata tidak kesampaian apabila hubungan mereka berdua telah putus baru-baru ini.
“Sebenarnya saya tidak mahu mengulas lebih panjang tentang perkara itu kerana sudah ditakdirkan memang tiada jodoh kami. Apa yang boleh saya katakan dia adalah gadis biasa dan hubungan kami putus ketika saya sedang sibuk menjalani penggambaran filem Sepah The Movie.
“Saya sendiri tidak tahu apa yang menyebabkan hubungan kami putus, namun kami tetap berpisah dengan cara baik. Jadi, sekarang ini saya memang sudah solo dan tidak mahu memikirkan sangat tentang cinta," jelasnya yang terus merahsiakan tentang identiti gadis yang pernah bertakhta di hatinya dahulu.
Ujarnya, buat masa ini dia belum merancang untuk mencari pengganti kerana kekecewaan terhadap kegagalan dalam percintaan yang lalu masih lagi dirasai. Buat masa ini hanya kerjaya yang menjadi keutamaan dan dia lebih seronok dengan-KOSMO
No comments:
Post a Comment