PENYANYI Shila Amzah, 21, tidak pernah mengaku bercinta dengan mana-mana lelaki yang dikaitkan dengannya sebelum ini. Justeru agak luar biasa apabila dia mengakui dirinya sangat selesa bersama dengan aktor Sharnaaz Ahmad, 26, dan hubungan mereka pula kini melepasi status hanya kawan.
Pengakuan berani mati Shila yang ditemui pada sesi fotografi baru-baru ini membuktikan memang benar ada sesuatu yang istimewa sedang berlaku antara dirinya dan Sharnaaz.
Malah akuinya, hubungan mereka mendapat restu ibu bapa Shila serta diketahui oleh keluarga Sharnaaz di Pulau Pinang juga.
Keterbukaan Shila itu cukup mengejutkan kerana dia memang dikenali cukup berahsia mengenai soal peribadinya. Mungkinkah Sharnaaz lelaki yang dicintai Shila sepenuh hati dan bakal dinikahinya sehingga membuatkan dia terbuka apabila berbicara bab cinta?
Jika Sharnaaz dalam kenyataannya kepada Kosmo! semalam tidak mengakui mahupun menafikan Shila adalah kekasih hatinya, tetapi disyaki sememangnya kekasih hatinya daripada gelak tawanya apabila ditanya adakah Shila kekasih hatinya, apa pula kata Shila?
"Kalau kata bercinta saya rasa masih terlalu awal tetapi kami sudah melepasi proses berkawan.
Cuma kami belum putuskan apa-apa dalam hubungan kami. Tengoklah apa yang akan jadi. Saya memang cukup selesa dengannya sebab dia jenis yang cukup menjaga saya dan ini semua perkara baharu buat saya.
"Saya sedar orang sekeliling tahu apa yang sedang berlaku antara saya dan Sharnaaz, saya tidak kisah. Kalau sebelum ini saya tidak mengaku bercinta kerana semua itu memang gosip semata-mata macam mana saya ingin mengaku. Kali ini saya mengaku sebab memang saya berkawan dengannya dan tiada apa yang perlu disembunyikan kerana masing-masing masih solo," akui Shila.
Hubungan Shila dan Sharnaaz sama seperti rakan artis biasa, namun penglibatan Sharnaaz dalam klip video lagu Patah Seribu merapatkan lagi hubungan mereka sekitar bulan Ogos tahun lalu.
Ungkap Shila lagi, Sharnaaz bukan jenis lelaki hipokrit.
"Dia jenis tidak kawal macho, dia menjadi diri dia sendiri dan itu persamaan antara saya dengannya. Saya suka lelaki yang begitu. Masalahnya kami berdua suka cakap lepas dan kadangkala terlupa yang saya tidak boleh cakap begitu dengannya, jadi sekarang kami sedang belajar untuk tidak melukakan hati masing-masing," tutur Shila sambil tertawa.
Tiada sebarang dendam
Meskipun sedang dilamun cinta, Shila mengerti risiko besar yang menantinya apabila dia secara terbuka mengaku sedang berkawan rapat dengan Sharnaaz yang juga artis sepertinya kerana banyak tekanan yang perlu dihadapinya terutama jika hubungan itu tidak mempunyai kesudahan yang baik.
"Memang timbul kebimbangan apabila bercinta sesama artis sebab itu saya sudah bersedia untuk sebarang kemungkinan. Saya ambil tahu tentang apa yang berlaku di luar sana (artis bercinta sesama artis) bukan menjaga tepi kain orang tetapi belajar daripada kesalahan orang lain. Semua orang melakukan kesalahan apabila kesalahan itu diperbesarkan oleh peminat dan media akan membuatkan saya lemas.
"Sebab itu kami tidak putuskan apa-apa dalam hubungan kami setakat hari ini, kami tidak mahu terburu-buru. Apa sahaja yang Allah tetapkan kami terima dengan reda, tidak ada sebarang dendam. Buat masa sekarang kami memang suka dengan kahadiran masing-masing," ucap Shila yang turut mendapat sokongan peminat dalam hubungannya bersama Sharnaaz.
Selepas melakukan penggambaran klip video lagu Patah Seribu, kesinambungan daripadanya adalah telemovie dengan judul yang sama akan muncul di kaca televisyen pada bulan Februari ini. Menariknya, Shila dan Sharnaaz turut berlakon dalam telemovie yang diarahkan oleh Michael Ang itu.
Dalam pada Shila mengambil sikap untuk berhati-hati dalam jalinan hubungannya bersama Sharnaaz itu. tercetus kontroversi apabila kedua-duanya dikatakan tidak berdisiplin dan asyik bermesra di set penggambaran drama tersebut.
Tegas Shila: "Saya rasa sepanjang bekerja dengan produksi telefilem Patah Seribu, saya tidak timbulkan sebarang masalah kerana sebagai pelakon baharu saya turutkan sahaja kata pengarah untuk memberikan hasil yang terbaik.
"Kalau kata saya dan Sharnaaz tidak berdisiplin itu satu isu yang sangat luas, tidak berdisiplin daripada segi apa, saya mahu tahu. Sebelum penggambaran bermula memang kami mungkin nampak mesra untuk mewujudkan mood kerana sudah dalam telefilem itu kami bercinta. Mungkin orang luar yang lihat tidak faham kerja kami. Bagi saya gosip seperti ini sesuatu yang normal."
Jatuh cinta
Pertama kali berlakon dalam Patah Seribu telah membuatkan Shila jatuh cinta bukan sahaja kepada pasangan lakonannya tetapi juga terhadap bidang lakonan itu sendiri. Tetapi akui Shila dia menghadapi masa yang sukar untuk benar-benar menjiwai watak dalam telefilem itu.
"Nak cakap senang memang tidak boleh sebab berlakon memang susah bagi saya. Lakonan sesuatu yang baharu, sebelum ini kalau saya menghayati watak cuma dalam lagu tetapi kali ini depan kamera dan memerlukan lontaran emosi yang kuat.
"Kalau menyanyi, dalam masa 30 minit saya sudah boleh balik tetapi berlakon mengambil masa yang lama bukan sahaja untuk persiapan set penggambaran tetapi juga persiapan mental dan fizikal saya sendiri," katanya mengenai penggambaran yang memakan masa selama tujuh hari itu.
Shila menerima tawaran untuk berlakon dalam Patah Seribu kerana katanya tidak ramai pencipta lagu dapat terlibat dalam naskhah ciptaan mereka sendiri yang divisualkan, selain tarikan Sharnaaz serta pengarahnya.
"Saya cipta lagu, saya menyanyikan lagu itu dan saya berlakon dalam telefilem yang jalan ceritanya ada kaitan dengan lagu saya, peluang ini bukan datang selalu sebab itu saya terima. Tambahan, lakonan dapat cabang dalam bidang seni juga.
"Selain itu Sharnaaz dan pengarahnya Michael Ang antara sebab saya berlakon telefilem ini. Ia lakonan pertama saya, jadi saya perlukan orang yang dekat dengan saya untuk memberi tunjuk ajar dan saya yakin dengan kemampuan mereka untuk membantu saya," tutur Shila.
Bagaimanapun tutur Shila dia tidak akan sesekali meminggirkan bidang nyanyian untuk beralih kepada lakonan kerana baginya nyanyian tetap berada di carta nombor satu buat dirinya.
"Memang saya tidak akan beralih kerjaya. Tetapi kalau mendapat tawaran yang kena pada waktunya dan wataknya sesuai dengan saya, mungkin saya akan terima kerana saya memang suka berlakon," luahnya.-KOSMO
No comments:
Post a Comment