TEHERAN - Sebutir bom magnet yang dilekatkan pada sebuah kereta oleh seorang penunggang motosikal meletup di sebuah universiti di sini semalam sekali gus mengorbankan seorang saintis nuklear dan mencederakan dua yang lain, kata beberapa agensi berita Iran.
Individu yang terbunuh dikenal pasti oleh beberapa media sebagai Mostafa Ahmadi Roshan, seorang saintis dan pensyarah di universiti berkenaan.
Ketika kejadian, dia berada di dalam kereta terbabit bersama dua lagi penumpang.
"Pada pagi ini seorang penunggang motosikal melekatkan sebutir bom pada kereta Peugeot 405 yang kemudian meletup," kata timbalan gabenor wilayah Teheran, Safar Ali Bratloo seperti yang dipetik agensi berita ILNA.
Menurut Bratloo, Mostafa terbunuh manakala dua penumpang lain yang cedera dihantar ke sebuah hospital.
Agensi berita Fars melaporkan, Mostafa sedang bekerja dalam satu projek untuk membuat membran polimerik untuk mengasingkan gas.
Mostafa merupakan pakar kimia dan pengarah kemudahan pengayaan uranium Natanz di tengah Iran.
Sebelum ini, tiga saintis Iran lain terbunuh pada 2010 dan 2011 apabila kereta-kereta mereka diletupkan dalam situasi serupa.
Sekurang-kurangnya, dua saintis berkenaan terbabit dalam aktiviti nuklear.
Serangan-serangan itu dianggap pihak berkuasa Iran sebagai operasi pembunuhan yang dilakukan oleh agensi perisikan Israel Mossad dengan dibantu Amerika Syarikat. - Agensi
sumber:kosmo
No comments:
Post a Comment