Followers

Johan Dan Zahid Penyeri Baharu Era.fm


SEBAGAI sebuah stesen radio swasta, adalah penting untuk mengekalkan rating yang tinggi dengan mengadakan program-program menarik mahupun menampilkan penyampai radio yang mampu membuatkan pendengar tidak beralih siaran.


Bagi merealisasikan perkara tersebut, Era FM yang merupakan stesen radio milik AMP Radio Networks di bawah Astro All Asia Networks telah mengambil inisiatif untuk menyajikan yang terkini dan terbaik kepada pendengar mereka sempena tahun baharu 2012 ini.
Oleh itu, dua orang jejaka telah dipertanggungjawabkan bersama penyampai radio yang sedia ada untuk memberi impak yang lebih menarik kepada peminat setia radio Era FM. Nama yang dikenali dan artis kelahiran Astro sendiri menjadi pilihan Era FM.
Siapa tidak kenal dengan dua nama besar dari program realiti televisyen iaitu Johan atau nama sebenarnya Mohamad Yazid Lim Mohamad Aziz dari program Raja Lawak musim pertama dan Zahid atau Ahmad Zahid Baharuddin atau Zahid iaitu juara Akademi Fantasia musim kedua.
Johan bukan ganti Aznil
Mahu mencuba cabaran baharu adalah sebab mengapa jejaka berumur 28 tahun ini menerima tawaran untuk menjadi seorang penyampai radio. Walaupun punya tawaran lain, Johan memilih untuk bersama Era kerana faktor jarak kediamannya yang berdekatan kawasan Bukit Jalil dan kemudahan untuk menyusun jadual hariannya yang padat.
"Saya ambil ia sebagai cabaran buat diri saya kerana menjadi penyampai radio, saya perlu bijak bermain dengan karakter dan mood diri supaya orang akan ingat dan tahu membezakan karakter yang ada pada setiap penyampai.
"Saya juga akan cuba eksklusifkan diri saya iaitu dengan tidak mengeluarkan semua apa yang saya ada. Saya akan keluarkan sedikit demi sedikit supaya pendengar ternanti-nanti apa yang akan saya lakukan seterusnya," tutur Johan yang tidak pernah lekang dari membuat lawak semasa ditemu ramah.
Tambahnya, ini kerana menjadi seorang penyampai radio dan pengacara mahupun pelakon yang muncul di kaca televisyen adalah dua perkara berbeza. Jika di dalam televisyen, aksi dan mimik muka dapat dilihat dan itu memudahkan kerja. Jika di radio, mood dan dialog yang dipertuturkan merupakan perkara yang sangat penting.


JOHAN akan berganding dengan Haniff dan Ray untuk segmen pagi yang diberi nama baharu, JoHaRa Pagi Era.



Jika sebelum ini program pagi dipanggil Riuh Pagi Era dan antara penyampai yang meriuhkan konti dan pendengar setiap pagi merupakan Aznil Nawawi, Ray dan Haniff. Namun, setelah sebulan menjadi penyampai sambilan di Era FM, kini giliran Johan bersama Haniff dan Ray bakal menggamatkan program yang kini diberi nama baharu, JoHaRa Pagi Era.
Namun, ia menjadi persoalan adakah kehadiran Johan adalah untuk menggantikan tempat Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil untuk mengendalikan program pagi tersebut.
"Saya tidak fikir begitu kerana sememangnya saya tidak menggantikan sesiapa terutama sekali Pak Nil.
"Ini kerana, Pak Nil tetap Pak Nil dan saya ialah saya. Walaupun tidak dinafikan memang mungkin orang akan mengatakan saya menggantikan tempat Pak Nil.
"Namun saya merasakan Pak Nil merupakan seorang yang berprofil tinggi dan belum lagi sampai tahap saya untuk menggantikannya," jelas Johan yang mengatakan dia kini perlu pandai mengatur jadual kariernya.
Zahid teruja
Jika Johan pernah menjadi penyampai sambilan dan mempunyai pengalaman berada di dalam konti, lain pula ceritanya dengan Zahid, selebriti kelahiran program realiti Astro sendiri iaitu Akademi Fantasia yang baru pertama kali merasa memikul tanggunjawab sebagai penyampai radio.
Zahid telah dipertanggungjawab untuk memikul tugas menjadi penyampai program atau segmen Petang Era bersama Adifashla dari pukul 4 petang sehingga 8 malam.
Selain masih aktif di dalam bidang nyanyian, ujar jejaka berusia 31 tahun ini, apabila diberi peluang menjadi sebahagian dari keluarga besar Era FM, dia merasakan ia peluang emas yang tidak harus dilepaskan.
"Pertamanya, saya menjadi penyampai radio juga di dalam bidang yang sama iaitu dalam bidang hiburan. Namun, bezanya, menjadi penyampai radio, saya perlu lebih banyak bercakap. Saya juga tahu radio Era merupakan radio stesen swasta yang telah lama membina nama dalam industri hiburan iaitu sejak tahun 1998 dan hingga kini masih lagi bertahan dan menjadi pilihan pendengar.
"Itulah yang membuatkan saya teruja untuk terlibat sama dan saya rasa ini juga masanya untuk saya mencuba bidang lain selain bidang nyanyian," kata Zahid menjawab soalan yang diajukan kepadanya.
Selain itu, tidak menafikannya juga, Zahid menjelaskan bahawa peluang ini merupakan comeback buat empunya diri yang agak lama menyepi dari sebarang aktiviti seni.
Tambahnya, menyesuaikan diri dengan jadual karier nyanyian dan menjadi penyampai radio tidak akan menimbulkan sebarang masalah kepada Zahid memandangkan perbincangan awal telah dibuat dan pihak Era sendiri memberi kelonggaran kepadanya.


SEDIA! Mungkin itu yang ditanam dalam hati setiap penyampai Era FM untuk menaikkan rating radio tersebut pada tahun ini.



Cerita jejaka ini, dia telah diberi tempoh selama dua minggu latihan bersama Riuh Petang Era untuk menyesuaikan diri bekerja di dalam konti dan menjadi penyampai radio. Namun, katanya, bagi pendatang baharu sepertinya, tempoh tersebut tidak memadai dan memerlukan sekurang-kurangnya dua bulan untuk mahir.
"Saya berharap supaya penyampai-penyampai lain dapat memberi tunjuk ajar kepada saya, terutamanya Adi yang akan bergandingan bersama saya dalam program Riuh Petang Era," akhirinya.-Kosmo

No comments: