Followers

Diandra Artis Indie Terbaru

pix_middle

GELOMBANG arus muzik indie bagaikan mencanak apabila pemuzik yang bergerak sendiri bangkit sekitar beberapa tahun terdahulu. Walaupun terpaksa bergelut dengan pelbagai halangan, demi merealisasikan kecintaan serta memperjuangkan muzik pilihan, mereka menapak laluan sukar itu tanpa berputus harapan.



Peluang mendekati seorang lagi artis indie baru yang selesa membawakan aliran muzik bersifat santai, Diandra Arjunaidi, baru-baru ini pada sesi pelancaran album terbarunya, menepis tanggapan dengan mempertaruhkan muzik sedemikian, pasti ia bertemu jalan buntu.
Diandra Arjunaidi?

Ya, namanya masih samar-samar dalam kalangan kita, namun ada sesuatu dalam dirinya yang tidak terungkap, cukup keemasan iaitu bakat seninya.

Siapa sangka, tuah dirinya selepas mengerah keringat menulis dan menghasilkan lagu bertahun-tahun lamanya mendapat perhatian dengan mendapat lamaran sebuah syarikat rakaman, Yuna Room Records, milik siapa lagi kalau bukan Yunalis Zaraai.

Pada usia 20 tahun, rezeki ternyata memihak pada Diandra yang juga cucu kepada Datuk Jamil Sulong dan seniwati Rosnani Jamil apabila album yang menggunakan namanya sebagai tajuk, Diandra Arjunaidi, akhirnya dilancarkan Rabu lalu bertempat di Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur serentak dengan pelancaran album kedua Yuna.

Memegang Diploma Seni Persembahan daripada Kolej Sunway, Diandra menyedari kecenderungannya dalam bidang ini sejak di bangku sekolah lagi. Pada usia 13 tahun, dia sudah mula mengambil kelas vokal dan setahun kemudian, dia belajar sendiri memetik gitar sambil menulis lagu.

Menjadikan Amy Winehouse, Kate Nash, Lily Allen dan Yuna sendiri sebagai inspirasinya, dia bagaimanapun berhenti daripada kelas vokal apabila memasuki usia 15 tahun dan mula menyanyi sendirian. Demi menilai sejauh mana nyanyiannya mampu memikat pendengar, dia bertindak berani memuat turun rakaman videonya di YouTube sebelum mendapat pelbagai reaksi menerusi komen yang diberikan pelawat.

Kuasa media, seorang penghibur antarabangsa, Arabyrd terpesona dengan kebolehan Diandra serta melihat potensi yang amat besar padanya, menyebut mengenainya menerusi laman twitter. Maka, dari situlah titik tolaknya Diandra dikenali apatah lagi sejurus ‘tweet’ itu ditulis, penyanyi dan pemuzik yang tidak asing lagi, Reza Salleh menghubunginya bertanyakan seandainya dia sedia untuk beraksi dan membuat persembahan secara langsung di khalayak ramai.

“Pada 2008, umpama mimpi jadi kenyataan, saya menerima tawaran Reza dan membuat persembahan buat pertama kalinya untuk Moonshine, acara muzik yang mengetengahkan bakat tempatan.

“Sejak itu, saya mula dihujani tawaran persembahan daripada pelbagai pihak termasuk menjadi artis pembuka tirai untuk Konsert Secondhand Serenade 2011, Miri Jazz Festival 2009, Borneo Rainforest 2010, Malaysia Hari Ini (MHI), Karnival Suara Kami 2011, dan Konsert Earth Hour 2011 selain sering menghiburkan khalayak di kelab Laundry Bar dan No Black Tie.

“Perkenalan saya dengan Yuna juga bermula pada acara Moonshine dan kami menjadi rapat sehinggalah pada November lalu, dia menawarkan jika saya berminat bernaung di bawah syarikat rakamannya.

“Lantas saya setuju kerana bohonglah kalau katakan tidak mahu, walhal inilah peluang yang saya intai-intai dan akhirnya tiba jua,” katanya.

Dengan termeterainya kontrak syarikat itu, album Diandra bakal memasuki pasaran dalam masa terdekat yang memuatkan tujuh lagu termasuk Things We Don’t Say, Remember, Happy, Untitled White Lines serta lagu Melayu tunggalnya, Angkasa.

Bagaikan mentor kepada Diandra, Yuna yang tidak perlu diperkenalkan lagi, mengakui tidak teragak-agak mengambil Diandra menjadi artis naungannya walaupun mungkin terpaksa berhadapan risiko kerana kepercayaannya terhadap bakat Diandra sangat tinggi.

Akuinya, dia melihat situasi Diandra ada persamaan dengan kisahnya ketika pada awal kemunculan apabila dia langsung tidak tahu selok-belok industri dan kepada siapa perlu dirujuk untuk memasarkan karyanya. Oleh itu, gusar andai bakat yang ada padanya terabai, Yuna ‘memudahkan’ laluan Diandra dengan memberikan platform itu.

“Saya bukan mengambil keputusan ini tergesa-gesa, saya mengenalinya, saya menyelami usahanya dan saya sedari potensinya teramat besar tambahan pula dia seorang yang berdikari, bersungguh-sungguh, bijak serta berwawasan jauh.

“Walaupun ada juga peminat yang menyamakan kami, saya optimis mereka sudah bijak menilai sendiri kelainan serta kekuatan masing-masing,” katanya.

Bercerita mengenai album keduanya berjudul Terukir Di Bintang, yang turut menjadikan Terukir Di Bintang sebagai taruhan utamanya, Yuna menyifatkan lagu dalam album berkenaan menunjukkan sisi lain sebelum ini.

Di sebalik kesibukan yang menerpanya, pemenang anugerah Artis Baru Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 (ABPBH 2009) itu menyatakan keyakinan album itu mampu diterima baik seperti album Decorate.

“Kali ini saya banyak mengetengahkan elemen rancak dalam setiap lagu dan ada sesetengahnya berkonsepkan klasik, kerana saya memang meminati lagu klasik.

“Lagu Terukir Di Bintang misalnya, diinspirasi daripada sebuah lagu lama berjudul Bulan Ditutup Awan yang pernah saya nyanyikan untuk ‘cover version’,” ulas pelantun lagu Dan Sebenarnya ini.

Menerusi album kedua ini, Yuna masih melebihkan lagu inggeris iaitu enam karya termasuk Sparkle, Photo of You, Memo, Someone Out Of Town dan Fears And Frustrations manakala dua lagi lagu Melayu -Terukir Di Bintang serta KL Kita.

Menjelang Februari atau Mac ini pula, album Live Your Life untuk pasaran Amerika Syarikat pula akan dilancarkan. Menurut Yuna, bagi rangka promosi album itu, dia juga sudah membuat jelajah di beberapa tempat di sana termasuk Philadelphia, Virginia, Chicago dan menerima sambutan yang amat menggalakkan.

Kesibukan bergandanya bagaimanapun tidak menghalang dia meluangkan sedikit waktu bersama keluarga bercuti di Eropah, baru-baru ini. Sekian lama menyimpan hasrat, saat keemasan itu dimanfaatkannya meneroka beberapa lokasi popular seperti Rom.

Sementara itu, mengulas persiapan menjelang Anugerah Juara Lagu pada 29 Januari ini, Yuna belum menetapkan konsep persembahannya, cuma berharap lagu Penakut dan Gadis Semasa akan berjaya di mata juri.-Metro


7 perkara mengenai Diandra

Pereka fesyen kegemaran: Alexander McQueen, Stella McCartney.
Tabiat buruk sukar dikikis: Online sampai tak boleh tidur! Minuman manis.
Haiwan jinak yang disukai: Tak berapa minat haiwan tapi di rumah ada banyak ikan koi yang gemuk-gemuk, dalam 10-15 ekor.
Kenangan pahit: Berdepan dengan kawan yang berubah perangai selepas saya jadi pemuzik.
Tempat percutian paling digemari: London!
Gadget kegemaran: iPhone, BlackBerry, iPod dan Sony Vaio.
Pewangi kegemaran: Flora by Gucci dan Miss Dior Cherie by Dior

p./s:sejujurnya PC pon xknal Diandra ni

No comments: