Followers

Foster The People Sampaikan Mesej Melalui Lagu




SEBELUM tahun 2009, Mark Foster yang baru berpindah ke Cleveland, Ohio di Los Angeles, Amerika Syarikat terkontang-kanting mencari rentak hidup. Bertukar-tukar kerjaya daripada seorang budak penghantar pizza, telepemasaran hinggalah mencipta lagu dan menulis lirik ketika waktu terluang.


Tanpa diduga, Foster menjadi seorang komposer lagu untuk televisyen dan iklan. Sejak dari itu dia punyai semangat untuk menubuhkan sebuah band indie yang digelar Foster The People.
"Kalau nak tahu, saya pernah ke tempat yang dipanggil Open Mike Nights. Di situ kita perlu membayar AS$3 (RM9.40) dan menunggu nama dipanggil untuk bermain muzik di hadapan 10 komposer lagu," ceritanya mengenai perjalanan hidup sebelum tertubuhnya Foster The People.
Sekali imbas, kumpulan yang terdiri daripada tiga anak muda, Mark Foster, Mark Pontius dan Cubbie Fink mirip band popular suatu ketika dahulu seperti Fall Out Boy dan Panic! At The Disco.
Mungkin kerana cara pembawaan imej dan rentak muzik yang dirasakan hampir seakan. Namun, apa yang membezakan mereka, Foster The People ada visi yang ingin dicapai bukan setakat bermain muzik.
"Menerusi siri jelajah Amerika Syarikat sebelum ini, kami telah berjaya mengumpulkan AS$120,000 (RM377,000). Kami membawa sebuah bas tambahan sepanjang perjalanan itu untuk menjemput 30 orang sukarelawan membuat kebajikan. Jadi saya rasa itu adalah langkah sulung kami dalam membantu masyarakat," ujar Foster ketika temubual bersama media antarabangsa.
Persembahan bagai mimpi

TIGA anak muda ini teruja menerokai kebebasan dalam menghasilkan karya muzik y
ang mewakili suara kemanusiaan sejagat.


Foster The People yang dilengkapi oleh Foster selaku vokalis utama, pemain keyboard dan gitar, Pontius (drum) dan Fink (bass dan vokal) menganggap momen membuat persembahan di hadapan khalayak seperti magis dalam mimpi.
"Hidup kami sangat melucukan! Pada bulan Januari dua tahun lalu, kami mula membuat persembahan di Echo, sebuah kelab di Los Angeles dan setiap minggu kami membuat persembahan di sana selama sebulan.
"Minggu pertama kelab itu cuma separuh penuh, lebih kurang 125 orang daripada 300 yang boleh muat. Empat bulan kemudiannya sewaktu di festival muzik Coachella kami membuat persembahan di hadapan 15,000 orang dan tiga bulan selepas itu di festival muzik Lollapalooza berhadapan 50,000 orang.
"Ia sangat mengharukan apabila melihat kemajuan kumpulan kami, memang gila kalau difikirkan balik. Rasa seperti memori 10 tahun dipadatkan menjadi setahun," bersemangat Mark Foster selaku peneraju band itu berbicara.
Mark Pontius pula menyelit, momen yang paling sukar dilupakan sewaktu membuat persembahan di Splendor Grass Festival di Australia tahun lalu.
"Persembahan kami ketika itu pada tengah hari, khemah kami dipenuhi dengan peminat dan audiens tidak jemu-jemu menyanyikan lagu-lagu kami sepanjang hari.
"Australia merupakan salah satu lokasi yang mencintai kehadiran kami. Berada di sana dengan sokongan sebegitu, kami rasa kehadiran kami diterima ramai," ujar Pontius.
Torches

VISI dan misi Foster the People bukan sekadar mencipta nama dalam dunia muzik.


Walaupun sekadar album debut, Torches yang merupakan buah tangan sulung Foster The People meledak dengan kadar luar biasa. Single Pumped Up Kicks, Helena Beat, Call It What You Want, cukup rencah memperkenalkan band pop itu.
Bak kata Pontius, Torches selari dengan aliran yang dibawa dan melambangkan setiap ahli Foster The People.
"Album ini merupakan suara kemanusiaan. Jika anda mendengar lirik-liriknya anda pasti tidak akan menafikannya. Jadi, ya! Tajuk Torches sendiri membawa banyak erti kepada ahli kumpulan ini.
"Ia umpama sejalur cahaya yang menggerakkan anda daripada satu tempat di masa silam ke masa depan, tanpa perlu melalui jalan yang bercabang-cabang," katanya yang paling meminati lagu Life On A Nickel dalam album Torches.-KOSMO

No comments: