Followers

Angka kematian letupan meningkat 13 orang


SEORANG anggota polis melihat timbunan runtuhan sebuah rumah di pinggir bandar Dos Quebradas, Colombia pada Jumaat lalu.


BOGOTA, Colombia - Sebanyak 13 orang disahkan maut dan hampir 100 yang lain cedera dalam letupan saluran paip minyak di barat Colombia, kata beberapa pegawai kelmarin.

Letupan sebelum subuh pada Jumaat lalu itu memusnahkan sebahagian paip minyak di bandar Dosquebradas dan mencetuskan kebakaran besar yang memusnahkan 35 buah rumah setinggan manakala 50 lagi rumah berkenaan rosak.

"Operasi mencari telah berakhir dengan sejumlah 13 orang terbunuh manakala 99 lagi cedera dengan 49 daripada mereka masih dirawat di hospital," kata seorang pegawai Pejabat Pengurusan Risiko.

Angka kematian terbaharu itu meningkat sebanyak dua orang manakala bilangan kecederaan bertambah kepada 20 orang berbanding Jumaat lalu.

Pihak berkuasa pada mulanya menyalahkan pencuri-pencuri minyak kerana menyebabkan letupan tersebut berlaku. Namun siasatan terperinci mendapati saluran minyak berkenaan pecah kerana gegaran tanah semasa hujan lebat turun sejak beberapa minggu lalu.

Kebanyakan tempat di Colombia kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga selepas hujan lebat yang turun sejak September lalu menyebabkan banjir yang mengorbankan sekurang-kurangnya 177 orang setakat ini.

Ribuan lagi mangsa banjir kehilangan rumah mereka dalam bencana alam terbaharu di negara rantau Amerika Selatan tersebut. - AFP-KOSMO

No comments: