Followers

Kim Swee resah




SIKAP ‘membisu’ Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) berhubung jadual perlawanan dan juga gelanggang rasmi skuad Harimau Muda menjelang saingan Liga Singapura (Liga-S) musim depan menimbulkan tanda tanya jurulatih, Ong Kim Swee.
Menurut Kim Swee, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang maklumat rasmi daripada FAS berhubung perkara itu walaupun difahamkan, saingan Liga-S bakal bermula pada 9 Februari depan.
Meskipun mengakui persiapan anak-anak buahnya tidak terjejas dengan situasi berkenaan, Kim Swee benar-benar berharap supaya FAS dapat menyalurkan maklumat itu kepadanya ataupun menerusi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan kadar segera.
“FAS masih tidak be
ritahu saya mengenai perkara itu, dengan FAM pun belum lagi.
“Saya harap semua urusan ini boleh diketahui dalam tempoh terdekat bagi memudahkan kami menyusun jadual memandangkan pemain Harimau Muda A akan beraksi pada Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) Bawah 22 tahun pada Jun tahun depan, selain menempuh baki kelayakan Olimpik Februari nanti.
“Bukan apa, saya tidak mahu ada sebarang pertindihan jadual nanti.
“Mungkin FAS sudah dimaklumkan mengenai jadual kita dalam pusingan kelayakan Olimpik, cuma saya bimbang mereka terlepas pandang mengenai kejohanan Piala AFC,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Skuad Harimau Muda A bakal bersaing dalam Liga-S selama empat musim hasil perjanjian persefahaman selama empat tahun di antara FAS dan FAM sebelum ini. Skuad itu akan dibarisi 28 pemain yang berusia bawah 22 tahun.
‘Sistem barter’ itu juga menyaksikan penyertaan pasukan Singapura yang dikenali sebagai Lions XII FC pada Liga Malaysia (Liga-M) musim depan yang begitupun menimbulkan rasa ‘kurang senang’ pemerhati bola sepak kerana menyenaraikan 10 pemain berusia lebih 23 tahun.
Bagi baki aksi kelayakan Kumpulan C temasya Olimpik Zon Asia nanti, skuad muda negara bakal berkunjung ke Bahrain pada 5 Februari tahun depan sebelum melayan kunjungan Jepun pada 22 Februari. Perlawanan terakhir berdepan Syria pada 14 Mac pula bakal diadakan di gelanggang berkecuali.
Ketika ditanya sama ada Stadium Yishun, Singapura yang berkapasiti 3,400 penonton mungkin menjadi gelanggang rasmi buat skuad Harimau Muda A nanti, Kim Swee juga enggan mengulas lanjut kerana masih belum dimaklumkan FAS.
“Tidak kisahlah beraksi di mana-mana stadium sekalipun, asalkan penyokong negara kita yang bekerja di sana hadir beramai-ramai memberikan sokongan kepada kami,” kata Kim Swee yang akan memanggil semula barisan pemainnya untuk berkumpul semula di Majlis Sukan Negara (MSN) pada 3 Januari depan.
Dalam pada itu, Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, sambil memberitahu, sebarang keputusan berhubung perkara itu akan diketahui hari ini.-KOSMO

No comments: