Followers

Berita :'Contohi semangat Harimau Muda'



RAJAGOBAL (kanan) mahukan semua pemain dalam skuad negara agar mempergunakan sepenuhnya pengalaman untuk membentuk keyakinan serta persefahaman di kalangan mereka.



SELEPAS aksi cemerlang yang dipamerkan Harimau Muda ekoran kejayaan mempertahankan pingat emas acara bola sepak pada Sukan SEA 2011 di Jakarta pada November lalu, tumpuan kini mula teralih kepada Harimau Malaya.
Selaku tuan rumah Piala AFF Suzuki bersama Thailand pada kejohanan edisi kesembilan itu tahun depan, cabaran getir bakal menanti pasukan negara selaku juara bertahan.
Skuad Harimau Malaya yang dibimbing oleh jurulatih berkaliber negara, Datuk K. Rajagobal telah berjaya menamatkan penantian selama 14 tahun apabila muncul juara kejohanan dwi-tahunan anjuran Persekutuan Bola Sepak Asean itu bermula 1996 yang kini dikenali sebagai Piala AFF Suzuki.
Sebelum ke pentas final kejohanan edisi lalu, pasukan negara tewas 1-5 kepada Indonesia pada perlawanan peringkat kumpulan namun kembali bangkit membenam Laos 6-0 dan mengatasi Thailand 2-1.
Namun, ia tidak sesekali mematahkan semangat pasukan negara yang sememangnya memiliki karakter sebagai jaguh Asean selepas menumpaskan seteru utama, Indonesia menerusi agregat 4-2 pada perlawanan timbal balik di Kuala Lumpur (3-0) dan Jakarta (1-2).
Namun bagi Rajagobal, beliau tidak mahu barisan pemainnya terlalu lena dibuai mimpi indah dengan kejuaraan yang diraih pada edisi kelapan itu.
Jelasnya, kejayaan lalu sekadar perangsang dalam membina kejayaan pada musim hadapan dan dia mahu anak-anak buahnya mencontohi sifat pasukan 'adik', Harimau Muda di atas prestasi cemerlang ketika beraksi di Sukan SEA lalu.
"Saya akui kejayaan muncul sebagai jua
ra Piala AFF Suzuki merupakan satu kenangan manis tetapi selaku juara bertahan, kami terpaksa berkerja dengan lebih keras dan gigih untuk mempertahankan reputasi tersebut.
"Mempertahankan kejuaraan adalah lebih susah jika dibandingkan merebut kejuaraan di mana setiap pasukan akan memberikan tentangan habis-habisan untuk merampas gelaran juara dari kami.
"Jadi, saya mahu barisan pemain saya mencontohi skuad kendalian Ong Kim Swee itu yang beraksi dengan cemerlang untuk melakar kejayaan pada Sukan SEA di Jakarta, baru-baru ini.
"Mereka (Harimau Muda) bukan sahaja berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah namun dalam masa yang sama, mereka telah menunjukkan kekuatan fizikal dan mental meskipun beraksi di gelanggang lawan yang sentiasa memberi provokasi terhadap skuad negara.
"Kejayaan mereka menjadi inspirasi kepada kami dalam usaha untuk mempertahankan status juara Piala AFF Suzuki pada tahun lalu," katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Ditanya mengenai prestasi skuad Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan menentang India pada pertengahan November lalu, Rajagobal melahirkan rasa bangga dengan komitmen yang dipamerkan oleh semua pemain.
Meskipun skuad negara sekadar mencatatkan keputusan seri 1-1 sebelum tewas 2-3 pada aksi kedua, beliau tetap berpuas hati dengan persembahan beberapa muka baharu yang diserapkan dalam skuad kendaliannya itu.
"Jangan terlalu cepat kritik kepada pasukan kami. Saya membawa tujuh pemain yang tidak pernah beraksi di pentas antarabangsa tetapi masih mampu memberikan saingan sengit kepada India. Saya mahu membuka ruang dan peluang kepada pemain-pemain ini untuk membina kombinasi mantap dalam pasukan. Keputusan perlawanan bukan ukuran tetapi pengalaman yang diraih perlu dimanfaatkan," ujarnya.
Layan Chanel Baru di Youtube,PETRONAS MOTORSPOT

No comments: