Followers

Empat nyawa melayang

 

KOTA TINGGI: Mereka baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan bersama-sama meninjau peluang melanjutkan pengajian di pameran pendidikan dan kerjaya di Johor Bahru.
Bagaimanapun, semua harapan itu terkubur apabila empat daripada enam remaja yang menaiki Toyota Innova terbunuh selepas kenderaan pelbagai guna itu melanggar bucu penghadang jalan serta papan tanda lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 90 meter.

Lebih mengerikan, bumbung kenderaan itu terkopak menyebabkan seorang mangsa tercampak keluar dalam kejadian jam 5.30 petang di Kilometer 33.7 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, dekat sini, kelmarin.



Empat yang maut ialah Ng Sin Yun, 17, dari Jalan Kelu Ramu, Kota Kecil; Winnie Ng, 18, dari Jalan Moi Hiang, Kota Kecil; Tey Jia Xin, 17, dari Kampung Lukut Cina serta Ching Hui Sean, 18.

Ng yang duduk di tempat duduk penumpang belakang tercampak keluar dari kenderaan itu dan mati di tempat kejadian.

Pemandu, Victor Ng Wee Tai, 17, cedera dan dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT) sebelum dirujuk ke hospital swasta di Johor Bahru atas permintaan keluarga.

Rakan mangsa, Tee Heng Chong, 17, berkata keenam-enam rakannya itu baru selesai menduduki SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar di sini.

“Kami mengunjungi pameran pendidikan dan kerjaya di Pusat Konvensyen Antarabangsa (Persada) Johor Bahru dan ketika kejadian, dalam perjalanan pulang.

“Kami pergi dengan menaiki Innova berkenaan manakala yang lain menaiki bas,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKT.

Menurut Tee, dia baru tiba di rumah apabila dimaklumkan kejadian itu dan amat sedih kerana apabila kehilangan empat rakan baik sekali gus.

“Keempat-empatnya bercita-cita tinggi dan semuanya mahu berjaya dalam pelajaran serta kerjaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Cik Mahazan Cik Aik, berkata seorang daripada mangsa terbunuh di tempat kejadian manakala tiga lagi mati ketika dirawat di Hospital Kota Tinggi (HKT).

“Semua mangsa mati akibat kecederaan pada badan dan kepala. Dua lagi mangsa masih dirawat dan keadaan mereka stabil.

“Kejadian berlaku ketika cuaca baik dan setakat ini siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti punca kemalangan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya juga masih menunggu untuk merekodkan kenyataan daripada mangsa terselamat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan.-Metro

No comments: