Followers

Berita: Batasan atau kebebasan lirik lagu

Sumber: Kosmo Online





ISU pengharaman lagu merupakan perkara biasa dalam dunia muzik terutamanya terhadap genre yang sedikit agresif, ekstrem atau 'keras' seperti rock, punk rock, hip hop atau mungkin sesetengah genre balada.
Kontroversi itu baru-baru ini turut menimpa kumpulan punk rock Malaysia, Bunkface yang dianggotai oleh tiga orang anak muda iaitu Sam atau nama sebenarnya Shamsul Anuar, Youk (Farouk Jaafar) dan Paan (Ahmad Farhan) apabila single mereka, Panik tidak dibenarkan untuk disiarkan di kesemua corong stesen radio awam Radio Televisyen Malaysia (RTM).


Tidak dinafikan, genre muzik yang dibawa dan dipersembahkan oleh Bunkface sedikit agresif. Dengan lirik lagu yang ditulis oleh ahli kumpulan itu sendiri, mereka diterima kerana penceritaan dalam lirik yang bersahaja dan telus menceritakan perkara sepertimana kata vokalisnya, Sam ia adalah daripada kisah benar pengalaman hidup.
Namun, apa yang terjadi adalah lirik lagu Panik yang terlalu telus itu telah mencetuskan kontroversi iaitu menerusi dua perkataan dalam liriknya iaitu 'reformasi' dan 'celaka'.
Alasan yang dibuat pihak Unit Panel Penilai Lagu Tempatan (PPTL) adalah lagu itu tidak sesuai untuk disiarkan oleh RTM dan menganggap perkataan 'celaka' sebagai sesuatu yang kasar dan tidak sopan untuk diperdengarkan kepada umum melalui siaran radio mahupun televisyen.
Walaupun begitu, kenyataan akhbar PPTL sebelum ini menegaskan bahawa terpulang kepada stesen-stesen swasta yang lain sama ada mahu menyiarkan lagu Panik itu atau tidak. Ini kerana RTM tidak pernah mengharamkan lagu tersebut untuk disiarkan di corong-corong stesen radio lain.
Namun jika mahu diselak semula permasalahannya, kedua-dua perkataan reformasi dan celaka yang digunakan dalam lirik lagu Panik tidak langsung menjurus ke arah sama ada politik, isu keagamaan ataupun menyentuh sensitiviti masyarakat.


AWIE pernah mengharungi kontroversi lagu-lagu Wings digam sekitar awal kebangkitan mereka dahulu.


Mungkin bahasa pasar mahupun rojak tidak sesuai untuk dipelajari masyarakat tapi kedua-dua perkataan tersebut merupakan bahasa rasmi yang sememangnya termaktub di dalam Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka yang sering dijadikan rujukan masyarakat.
Menjawab isu tersebut, ahli kumpulan Bunkface sendiri menganggap ia kejadian yang pelik terhadap mereka.
"Mengapa perkataan 'reformasi', itu harus dikaitkan dengan politik? Tidak semestinya kerana kita boleh juga gunakan reformasi untuk diri sendiri. Namun, setakat ini, radio lain tiada masalah dengan lagu tersebut.
"Jika di Malaysia tidak boleh menggunakan perkataan reformasi itu sendiri, pendapat saya, baik hapuskan sahaja ia daripada kamus. Jika benar tidak boleh, biar ia jangan digunakan langsung," tegas Sam sambil mengatakan lirik lagu ini tiada kena mengena dengan mana-mana pihak serta unsur politik.
Paan selaku pemain gitar Bunkface pula menyatakan rasa kesalnya terhadap perkara tersebut dan menjelaskan penggunaan perkataan itu bukan bertujuan untuk memaki seseorang ataupun mencerca sebarang situasi.
"Saya ambil satu contoh, jika lirik kami terlalu kesat, bagaimana pula dengan dialog-dialog yang menggunakan banyak perkataan kesat dalam filem-filem Melayu lama kita yang telah ditonton umum oleh segenap lapisan masyarakat," katanya yang tetap bersyukur kerana lagu tersebut tidak digam oleh stesen radio lain.
Itu mungkin pendapat generasi baharu dalam industri yang mengamalkan keterbukaan dalam penulisan lirik dan pembikinan lagu.
Namun, lain pula pendapat serta penjelasan yang diberikan salah seorang Panel Penilai Lagu Tempatan (PPLT), Datuk Mokhzani Ismail yang merupakan Pengarah Muzik Orkestra RTM dalam kenyataan akhbarnya baru-baru ini.
Ujarnya, pengkarya muzik harus bersikap lebih peka kerana adalah tidak salah untuk berkarya kerana banyak lagi perkataan indah dalam bahasa Melayu. Tiada salahnya juga menggunakan ayat yang lebih manis dan bersopan.
"Setiap lagu yang kami dapati bertentangan dengan etika serta kriteria yang tidak bersesuaian dengan objektif kami, lagu itu akan menerima nasib yang sama. Biarlah lirik lagu yang ditulis itu menggambarkan sesuatu yang positif baik daripada segi maksud tersirat mahupun tersurat," katanya.
Bagi radio RTM juga, mereka hanya akan dapat memainkan lagu yang sudah ditapis oleh panel penilai sahaja. Ini bermakna lagu-lagu yang telah lulus akan dimasukkan ke dalam sistem yang sedia ada untuk rujukan para deejay.
p/s:sbnarnya bila aku dgr lgu ni...ok jer....xlah terok sgt seperti yg diperkatan....btw..spe yg xblh trima..just keep your earr close..kan...hhaaa...sbnarnya kita hrus sokong kumpulan tempatan sperti bunkface ni...coz mreka ni mencipta dan menyanyi lgu yg universal..iaitu lg yg blh diterima ole seluruh penduduk di pelusok dunia....kan kan kan....hehe..ni pndapat aku jer...jgn marah!!

No comments: