Followers

Imej PSM tercalar




PERSATUAN Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengecam tindakan buruk pihak tidak bertanggungjawab yang berterusan memburuk-burukkan nama baik badan induk itu.
Meskipun kesemua Ahli Majlis Tertinggi PSM telah menyuarakan sokongan sebulat suara kepada Datuk Ahmad Ismail untuk terus memimpin PSM, masih ada pihak yang dikatakan cuba ‘bermain kotor’.


Terbaharu, satu laporan tertutup yang diedarkan kepada semua wakil dalam mesyuarat Ahli Majlis PSM di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 17 Disember lalu telah disalahgunakan.
Justeru, Setiausaha Kehormat Persatuan Sepak Takraw Perlis (PSTPs) merangkap Ahli Majlis PSM, Syed Azmir Syed Ahmad (gambar kecil) tampil untuk membetulkan keadaan dan mengecam laporan yang disiarkan dalam sebuah akhbar kelmarin.
“Saya tidak pernah membuat sebarang kenyataan akhbar kepada wartawan tersebut.
“Saya mengakui dengan penuh tanggungjawab bahawa saya memang ada menulis satu laporan berkaitan pencapaian skuad elit negara pada Sukan SEA 2011 di Palembang, Indonesia lalu.
“Bagaimanapun, ia hanyalah satu laporan tertutup untuk semua wakil yang menghadiri mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM baru-baru ini.
“Tujuan sebenar saya menulis laporan itu adalah untuk meminta semua wakil agar menggembeling dan terus berusaha gigih dalam melakukan perubahan serta penambahbaikan kepada pencapaian prestasi skuad negara pada masa depan,” kata Syed Azmir kepada Kosmo! semalam.
Syed Azmir berkata, beliau berasa amat kesal kerana ketika kesemua Ahli Majlis Tertinggi PSM telah memberikan taat setia kepada Presiden PSM untuk memartabatkan semula maruah sepak takraw negara di persada dunia, masih ada pihak yang berterusan mengambil kesempatan bagi memburukkan imejnya serta menggugat kredibiliti persatuan tersebut.
Katanya, bagi pihak PSTPs, beliau mengecam tindakan buruk pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut kerana mereka tidak berhenti dengan niat jahat bagi memburukkan PSM walaupun pelbagai usaha yang akan dan telah dilaksanakan oleh PSM selama ini.
“PSTPs akan terus menyokong kepimpinan PSM.
“Jangan hanya pandai mengkritik dan melihat kelemahan orang lain, sebaliknya tanyalah apakah sumbangan kita ke arah mengembalikan maruah dan martabat sepak takraw negara?
“Saya juga menyeru kepada pihak terbabit agar menghentikan apa jua bentuk kecaman bagi memburukkan PSM kerana adalah lebih baik sekiranya manfaatkan pandangan serta pendapat mereka ke arah kemajuan sukan sepak takraw negara.
“Akhir sekali, saya berharap pihak yang berterusan mengecam PSM tanpa bukti yang nyata tampil menyalurkan pandangan mereka supaya ia dapat dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PSM,” ujarnya.-KOSMO

No comments: