Followers

Ahmad Idham Kurang Senang Kenyataan KJ

Ahmad Idham Kurang Senang Kenyataan Twitter KJ
KUALA LUMPUR – Pengarah terkenal tanah air, Ahmad Idham menyatakan kurang senang dengan kenyataan atau kritikan yang disuarakan oleh Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), Khairy Jamaluddin  di laman sosial, Twitter miliknya.
Sudah seperti menjadi kebiasaan untuk golongan-golongan artis di Malaysia bagi menyuarakan pendapat masing-masing, sekali lagi isu ‘kurang senang’ timbul kesan dari penggunaan laman sosial Twitter.
Selepas selesai tayangan perdana sebuah filem Bunohan minggu lalu, Khairy dikatakan telah memberikan pandangannya dan membuat perbandingan antara filem Bunohan dan Hantu Bonceng arahan Ahmad Idham secara terang-terang di dalam Twitter.
Dalam kenyataan Twitter Khairy, ketua pemuda itu menyifatkan filem Bunohan adalah sebuah filem yang jauh lebih baik berbanding filem Hantu Bonceng.
Ahmad Idham dalam kenyataannya yang diambil dari blog hiburan, Rotikaya.com berkata, dia sedikit tergamam dan terkilan apabila Khairy seolah-olah memandang rendah dengan kualiti dan hasil kerja dalam filem Hantu Bonceng.
“Saya sebenarnya tergamam apabila dia (Khairy Jamaluddin) membandingkan filem arahan saya itu dengan Bunohan — seolah olah memperlekehkan Hantu Bonceng dan tenaga kerja juga mereka yang meminati filem ini,” kata Ahmad Idham.
Ahmad Idham Kurang Senang Kenyataan Twitter KJ
Malah, pada pemahaman Ahmad Idham, kritikan secara terang dari Khairy bukan sahaja boleh menimbulkan spekulasi dan mengundang tanggapan negatif antara produksinya dan produksi Bunohan, tetapi juga telah menyebabkan penilaiannya terhadap kepimpinan Khairy turut terjejas.
“Kalau kenyataan itu keluar dari orang kebanyakkan, saya tiada masalah tetapi ini keluar dari seorang pemimpin — adakah penilaian saya selama ini terhadap beliau salah — dan kenyataan sebegini boleh melagakan saya dengan produksi filem Bunohan,” katanya.
Ekoran dari kenyataan itu, Ahmad Idham mahu perkara ini diketengahkan dan dia juga perlu berhadapan dengan Khairy untuk mendapatkan maklum balas lanjut supaya ketua pemuda itu faham tidak semua selera penonton di Malaysia sama seperti dirinya.
Oleh: NAIMAH SHAARI

No comments: