Followers

Filem Melayu Kutip RM125 Juta Tahun Lalu

Filem Melayu Kutip RM125 Juta Tahun Lalu
KUALA LUMPUR – Industri perfileman tanah air mencatat sejarah tersendiri apabila kutipan tiket kira-kira 40 buah filem Melayu yang ditayangkan di pawagam-pawagam seluruh negara mengutip kutipan tiket sebanyak RM125 juta pada tahun lalu.
Menurut Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Mohd Naguib Razak, jumlah kutipan itu memperlihatkan peningkatan amat ketara apabila kutipan tiket filem-filem tempatan hanya sebanyak RM50 juta dua tahun lepas.
“Jumlah kutipan tiket itu dijangka akan terus meningkat kerana pada tahun ini sebanyak 200 lagi panggung wayang akan dibuka di mana setakat ini kita ada tidak kurang daripada 600 dewan atau panggung wayang di seluruh negara seperti TGV, GSC, Cathay dan MBO.
“Malah, buat masa ini 70 buah filem Melayu sedang dalam pembikinan dan ia dijangka siap pada sebelum hujung tahun ini. Ekoran pertambahan bilangan itu, kini setiap minggu sebuah filem Melayu yang baru akan ditayangkan di pawagam,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Tambah Mohd. Naguib lagi, disebabkan lambakan filem-filem Melayu sejak kebelakangan ini, Finas dan pihak pawagam kini bersetuju untuk menayangkan dua filem tempatan yang baru serentak di pawagam pada setiap minggu mulai 24 Mei ini.
“Kalau dulu sebulan sekali sebuah filem Melayu ditayangkan di pawagam, kemudiannya dua minggu sekali dan seminggu sekali. Tetapi sekarang ini kami tiada pilihan selain menayangkan dua filem seminggu serentak kerana peningkatan tersebut.
“Pada masa sama, peningkatan itu turut menyaksikan filem-filem Melayu menguasai 21 peratus kutipan tiket filem-filem box-office keseluruhannya yang ditayangkan di negara ini. Jumlah itu agak tinggi berbanding cuma 10 peratus di negara-negara Eropah,” ujarnya lagi.
-mynewshub

No comments: