Followers

Norish Karman Menangis Belakang Anak-anak

Norish Karman Menangis Belakang Anak-anak
PETALING JAYA – Biarpun dirinya dihimpit dengan dugaan bermula dengan keruntuhan rumah tangga, tiada sumber pendapatan dan menjadi mangsa cakap-cakap orang, pelakon Norish Karman hanyalah manusia biasa yang tidak dapat menutup perasaan hiba dan sedih dari anak-anaknya.
Norish mengaku, di saat dirinya berada di bawah tekanan, dia pernah menangis di belakang anak-anaknya dan berpura-pura dirinya kuat dan tabah menghadapi tohmahan manusia.
Walaupun orang lain melihat dirinya kuat dan masih lagi mampu bertahan dalam melayari kehidupan seharian, Norish sedar yang dia hanyalah manusia biasa yang masih lagi mempunyai perasaan tipis untuk menangkis ujian dari Tuhan.
“Saya tidak terjejas secara luaran dan orang nampak seperti saya kuat untuk menghadapi kisah keruntuhan rumah tangga dan pelbagai fitnah yang mengaibkan, tetapi saya juga manusia biasa yang mempunyai rasa sedih dan kecewa.
“Saya pernah berduka dan menangis di belakang anak-anak tetapi Tuhan itu sentiasa ada untuk memberikan kekuatan,” kata Norish dalam mStar Online.
Walaupun dugaan yang mendatang itu sedikit sebanyak menyebabkan dirinya lemah dan terguris kerana tidak boleh menutup mulut orang-orang dari bercakap tentang dirinya, Norish sentiasa mengingatkan dirinya sudah menjadi adat bagi industri hiburan kesan menerima tanggapan negatif dari masyarakat sekeliling.
Justeru itu, dia sentiasa berfikiran positif untuk menangani setiap masalah yang timbul dan tidak akan sekali-kali menunjukkan dirinya lemah di hadapan anak-anaknya kerana itu akan membuatkan dirinya bertambah matang untuk meneruskan kehidupan.
Namun, di sebalik kekuatan yang ditunjukkan, Norish tidak dapat lari dari perasaan sedih apabila anak-anaknya turut menjadi mangsa dan terpalit dengan tohmahan serta fitnah yang dilemparkan kepada dirinya.
“Seperti yang pernah saya katakan, orang boleh menuduh apa sahaja tetapi tidakkah mereka fikir perasaan anak-anak dan keluarga saya?
“Bagi saya, fitnah dan tohmahan adalah resam dunia artis. Saya memilih jalan ini, jadi saya mesti hadapinya walaupun perit dan berat. Saya sedih apabila anak-anak yang terkena tempiasnya,” katanya.
Norish juga turut sedih apabila orang-orang disekelilingnya mudah menjatuhkan hukuman sedangkan mereka tidak mengetahui tentang kedudukan sebenar kehidupan dirinya.
Tetapi, buat ibu tunggal itu, dia tetap rasa bersyukur punyai orang-orang terdekat yang sentiasa menyokong dan menyayangi dirinya serta menggalakkan dia untuk terus kuat menempuh dugaan hidup.
Pelakon yang sedang menjinakkan diri ke dalam dunia nyanyian itu juga sentiasa mengingatkan dirinya sentiasa memperbaiki diri serta tidak mengulang semula kesilapan yang pernah dilakukan dahulu.
Oleh: NAIMAH SHAARI

No comments: