Followers

Filem Ahmad Idham Khas Untuk TV3

Filem Ahmad Idham Khas Untuk TV3 
PETALING JAYA – Penerbit dan pengarah filem-filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd., Ahmad Idham Ahmad Nadzri, 40, telah memberi hak tayangan filem-filemnya yang akan ditayangkan di pawagam mulai tahun ini hingga 2013 hanya kepada stesen TV3.
Menurut Ahmad Idham, dengan perjanjian dan kolaborasi yang telah ditandatangani bersama pihak TV3 itu, selepas ini filem-filem terbitan Excellent Pictures Sdn. Bhd. yang telah ditayangkan di pawagam akan ditayangkan secara eksklusif menerusi saluran televisyen tersebut.
“Sebelum ini, selepas sahaja filem-filem arahan dan terbitan saya ditayangkan di pawagam ia akan ditayangkan di saluran Astro First. Bagaimanapun memandangkan tawaran TV3 lebih baik maka saya bersetuju untuk menjalin kolaborasi ini yang lebih menguntungkan semua pihak.
“Selepas ini, filem-filem terbaru saya yang bakal ditayangkan di TV3 bertajuk Jangan Pandang-Pandang, Gerimis Mengundang, Mail Lambung, Cinta Atas Tar dan Lari,” katanya pada sidang akhbar antara TV3 dan Excellent Pictures Sdn. Bhd. di One World Hotel di sini semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Ahmad Izham Omar berkata, pihaknya menjalin kerjasama dengan Ahmad Idham dan Excellent Pictures Sdn. Bhd. kerana yakin dengan prestasi syarikat produksi terbabit.
Jelas Ahmad Izham, pihaknya yakin filem-filem arahan pengarah itu mampu menarik ramai penonton TV3 berdasarkan pencapaian kutipan tiket serta sambutan para peminat sewaktu ia ditayangkan di pawagam-pawagam di seluruh negara sebelum ini.
“Walaupun ini adalah kolaborasi pertama antara TV3 dan sebuah produksi luar tetapi kami yakin dengan kemampuan Ahmad Idham. Ia berdasarkan bakat beliau, jalan cerita filem-filem arahan beliau seperti Hantu Bonceng yang mendapat sambutan hangat para penonton.
“Kami memilih untuk menumpukan kepada filem sahaja dan ia tidak termasuk drama atau telemovie yang turut banyak diterbitkan oleh Excellent Pictures Sdn. Bhd. Ini kerana, filem mampu memberi impak yang lebih besar kepada para penonton TV3,” ujarnya lagi. – mynewshub.my

1 comment:

AQ Eyfa said...

hebat ar Ahmad Idham kolaborasi dgn TV3 lak.