Followers

Enot Berazam Jaga Adab Selepas Bertudung

Enot Berazam Jaga Adab Selepas Bertudung 
KUALA LUMPUR – Pelakon komedi terkenal, Alliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot, berazam untuk lebih beradab apabila berkata-kata selepas membuat keputusan ‘berhijrah’ tampil dengan imej bertudung sejak sebulan lalu.
Enot yang mengaku masih bersikap ‘gila-gila’ berkata, sebagai artis yang baru bertransformasi ke arah imej yang lebih Islamik, dia perlu menjaga kata-kata atau perbuatannya agar tidak berlaku sebarang kontroversi yang akan mencalarkan imej tersebut.
“Saya masih ‘gila-gila’ seperti dulu tetapi akan lebih menjaga batasan dalam percakapan atau pun perbuatan supaya ia tidak menimbulkan prasangka buruk mengenai perubahan saya kepada orang lain,” katanya yang dipetik dari media Mstar Online.
Menjelaskan mengenai detik-detik penghijrahan imej tersebut, Enot memberitahu bahawa tiada sesiapa yang memaksa beliau untuk bertudung dan ia berlaku secara tiba-tiba.
“Saya tidak pernah merancang untuk memakai tudung sebelum ini tetapi ia berlaku secara tiba-tiba ketika bangun pagi, sebulan lalu tanpa berfikir panjang.
“Suami, keluarga dan rakan-rakan juga memberikan sokongan yang baik terhadap perubahan ini,” tambahnya lagi.
Setelah tampil dengan imej bertudung, Enot turut merasakan lebih berkeyakinan dan tenang dengan perubahan tersebut serta bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana diberikan hidayah untuk berhijab ke arah yang lebih positif.
Selain itu, Enot juga menegaskan bahawa dia tidak risau dengan rezekinya di dalam bidang seni selepas bertudung kerana yakin bahawa urusan tersebut adalah di bawah ketentuan Allah SWT selain memerlukan usaha gigih darinya.
“Buat masa sekarang masih belum ada tawaran berlakon daripada mana-mana pihak tetapi sebagai saya yakin jika ada rezeki ia pasti milik kita,” ujarnya lagi.
Sebahagian dari usaha pelakon itu untuk menambah punca rezekinya ialah dengan menumpukan perhatian kepada perniagaan kek melalui syarikatnya, Enotcookies N Cakes, yang sudah beroperasi sejak beberapa tahun lalu secara online.
“Alhamdulillah perniagaan biskut dan kek yang dijalankan bertambah maju dan saya harap ia akan menjadi jenama kegemaran masyarakat selepas ini,” kata Enot yang turut mendapat tawaran sebagai duta produk makanan kesihatan.
Selain menerima pesanan melalui laman sosial Facebook, enotcookiesncakes, Enot bakal melebarkan pasaran perniagaannya di Universiti Malaya dan pasar malam Taman Tun Dr. Ismail pada hujung minggu ini. – Mynewshub.my

1 comment:

AQ Eyfa said...

makin tomer ah enot.gud2 atas perubahan ini.