Followers

Benarkah Osbon Besar Kepala, Tuntut Bayaran Tinggi?

Osbon Dituduh Besar Kepala, Tuntut Bayaran Tinggi?
PETALING JAYA – Selepas kumpulan Osbon menjadi juara dalam rancangan realiti terbitan Astro, Maharaja Lawak Mega (MLM), timbul pula cakap-cakap tidak enak terhadap dua pelawak ahli kumpulan terkenal itu apabila dikatakan mereka mula ‘besar kepala’.
Mereka dikatakan ‘besar kepala’ apabila cuba menuntut dan meletakkan bayaran yang tinggi ketika memenuhi undangan rancangan hiburan untuk sesebuah majlis.
Salah seorang ahli kumpulan Osbon, Shahrizan Ahmad, 52, atau mesra dipanggil Abon, kesal dengan andaian dan tuduhan oleh sesetengah pihak mengenai kredibiliti kumpulan pelawak mereka dalam memberikan persembahan yang ikhlas hinggakan dituduh sedemikian.
Bagaimanapun, Abon tidak mahu ambil pusing dan terlalu memikirkan cakap-cakap orang mengenai isu mereka sudah ‘pandai’ besar kepala dalam meletakkan harga yang tinggi dalam proses memenuhi undangan sesuatu majlis.
Malah, dia juga turut ‘bersimpati’ dengan tuduhan atas angin yang dilemparkan oleh pihak-pihak yang dengki dengan kejayaan kumpulan Osbon.
“Saya sangat ‘kasihan’ dengan pihak yang menuduh Osbon semakin sombong dan menetapkan harga bayaran yang tinggi bagi persembahan kami. Tiada istilah atau komen lanjut yang sesuai untuk perkara seperti ini.
“Saya tahu perkara ini tersebar kerana perasaan tidak puas hati segelintir pihak apabila permintaan mereka tidak dapat kami penuhi atas sebab-sebab tertentu,” kata Os seperti dalam mStar Online.
Bagi Abon, dia dan Os yang sudah berpengalaman hampir 30 tahun dalam industri seni negara tidak sekali-kali meletakkan harga bayaran yang tidak masuk akal memandangkan mereka sudah faham dengan selok-belok dunia hiburan.
Tetapi, kejayaan mereka merangkul juara dalam rancangan MLM haruslah diletakkan sebagai ukuran mereka boleh meletakkan bayaran yang setimpal dengan usaha yang dilakukan memandangkan mereka berjaya membuktikan kebolehan dan bakat lawak yang tersendiri.
“Orang ramai akan faham kalau juara MLM ini hendak letak harga atau apa sekali pun kerana kami sudah buktikan kemampuan kami,” kata Abon.
Pun begitu, Abon juga turut kesal kerana sepanjang pembabitan dia dalam industri, tiada sesiapa yang peduli dengan kehadiran mereka tetapi, semenjak berjaya dalam MLM, isu negatif pula yang banyak digembar-gembur dengan tujuan untuk menjatuhkan Osbon.
Isu bayaran tinggi terhadap kumpulan Osbon sudah lama dipertikaikan oleh sesetengah pihak semenjak Abon ditemu bual dalam rancangan hiburan, Melodi terbitan stesen TV3 beberapa minggu lalu.
Abon seperti menyindir sesetengah pihak yang iri hati dengan memberikan serangkap pantun yang mungkin menyebabkan ramai pihak makan hati dan tidak meletakkan mereka sebagai mangsa keadaan.
“Jangan ikut perangai hantu, Sebab hantu asalnya syaitan, Kalau kita tak membantu, Tolong jangan nak jatuhkan.”
Oleh: NAIMAH SHAARI

No comments: