Followers

Mamat Sepah Teruja Pinjamkan Suara Filem Animasi “Bola Kampung The Movie”

Mamat Sepah Teruja Pinjamkan Suara Filem Animasi “Bola Kampung The Movie” 
KUALA LUMPUR – Pelakon komedi yang sering terpalit dengan cerita-cerita kontroversi peribadi, Mamat Sepah, sudah lama bercita-cita untuk meniru gaya dan suara watak-watak kartun Jepun seperti Nobita atau Doraemon di sepanjang kariernya sebagai artis.
Mamat yang diberikan kesempatan untuk turut serta di dalam sebuah projek filem animasi berjudul “Bola Kampung The Movie” dan dikatakan akan meminjamkan suaranya bagi salah satu watak di dalam filem berkenaan.
“Saya adalah peminat kartun dan sejak dulu lagi sering berangan-angan dengan meniru gaya suara seperti Nobita atau Doraemon dan peluang berlakon dalam “Bola Kampung” adalah sesuatu yang tidak akan saya lepaskan,” katanya yang dipetik dari laman berita online tempatan, Mstar Online.
Teruja dengan kepercayaan yang diberikan oleh pengarah dan penerbit filem animasi berkenaan, Mamat menegaskan bahawa dia akan memberikan komitmen penuh kepada projek tersebut.
Menurut Mstar lagi, selain Mamat yang terpilih, filem itu juga akan meminjam suara 13 artis terkenal seperti Deanna Yusof, Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, Aizat Amdan dan Noh (Hujan), serta dijadualkan akan ditayang pada akhir tahun ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mamat turut mengulas mengenai hubungannya dengan dua lagi bekas kumpulan Sepah, Jep dan Shuib, yang dikatakan kurang senang dengan sikapnya sebelum ini dan menceritakan kemelut tersebut secara terbuka di media.
Menurut Mamat, hubungan ‘tiga sekawan’ itu tetap terjalin rapat dan sering bertanya khabar di antara satu sama lain sekiranya ada kesempatan serta menegaskan bahawa dia tidak menaruh sebarang dendam terhadap kedua sahabatnya itu.
“Kalau asyik nak ikutkan perasaan marah dan dendam sampai bila pun masalah tidak akan selesai. Saya sikit pun tidak pernah berdendam dengan mereka kerana kami pernah berkawan baik dan mengharungi pelbagai susah dan senang bersama,” jelasnya lagi.
Selain itu, segala teguran yang diberikan kepadanya oleh sahabat-sahabatnya itu sebelum ini diambil secara positif oleh bekas kekasih Fida Ibrahim itu sebagai pengajaran dan memperbaiki kelemahan dirinya.
“Kadang-kadang bila fikir memang sedih tetapi perkara itu dah berlalu dan saya sudah menerima bahagian saya. Apa juga yang dikatakan saya mengambil pengajaran dan cuba memperbaiki diri,” ujar Mamat. – Mynewshub.my

No comments: