Followers

Pemandu Peribadi Zahida Rafik Larikan RM200,000?

Pemandu Peribadi Zahida Rafik Larikan RM200,000?
KUALA LUMPUR – Pelakon dan ahli perniagaan, Zahida Mohamed Rafik dilaporkan kerugian berjumlah RM200,000 apabila wang tunai yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun banknya itu dilarikan oleh pemandu peribadinya.
Zahida yang kini giat menguruskan perniagaan milik keluarganya menyerahkan wang tersebut kepada pemandunya atas dasar percaya kira-kira pada jam 11 pagi Rabu lalu untuk tujuan tersebut sebelum pemandunya itu ‘menghilangkan’ diri selepas itu.
“Saya percayakannya sebab dia sudah bekerja dengan saya hampir lima tahun dan sebelum ini tidak pernah melakukan apa-apa kesalahan,” katanya kesal dengan apa yang berlaku.
Beliau kemudiaannya membuat laporan berkenaan kejadian tersebut di Balai Polis Dang Wangi dan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin, mengesahkan menerima laporan itu dan disiasat mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan atas dakwaan pecah amanah.
Menurut Zahida, beliau biasanya akan pergi sendiri ke bank untuk memasukkan wang sambil ditemani oleh pemandunya itu.
Namun memandangkan ibunya sakit dan terlalu sibuk menguruskan beberapa perkara penting menyebabkan beliau terpaksa mengamanahkan pemandunya untuk melakukan proses kemasukan wang tersebut.
“Kebiasaannya saya akan turut sama pergi dan dia hanya menemani. Namun, kali ini saya benar-benar tidak sempat kerana ibu sakit dan saya agak kelam-kabut di rumah bagi menguruskan beberapa perkara,” ujarnya lagi dalam Harian Metro.
Selepas menyedari ‘kehilangan’ pemandunya dan wang yang besar jumlahnya itu, Zahida pergi ke rumah pemandunya untuk berbincang dan bertanyakan tentang wang itu terlebih dahulu sebelum membuat laporan polis.
Namun malangnya, beliau diberitahu oleh ibu pemandu itu bahawa anaknya sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah dan terpaksa membuat laporan polis kemudiannya.
“Sebelum membuat laporan polis, saya ke rumahnya. Maklumlah sudah hampir lima tahun dia bekerja dengan saya, saya kenal anak-anak dan ibunya yang tinggal bersama.
“Mungkin juga dia ada masalah kewangan atau memerlukan duit, jadi saya ke rumahnya untuk bertanya dan berbincang. Namun ibunya hanya memberitahu dia sudah beberapa hari tidak pulang ke rumah. Jadi, saya tiada pilihan selain melaporkannya kepada polis,” jelas pelakon filem Anak Mami The Movie itu. – Mynewshub.my

No comments: